27 Jul 2013

BELAJAR AL-QURAN 1


  1. Sejak sebelum sekolah rendah, ibubapaku menghantar aku mengaji Quran. Tok Guru Quran yang pertama mengajar aku ialah Tuan Haji Hassan Shamsuddin atau dikenali dengan panggilan Tok Lang Hassan Imam. Madrasah kami terletak di Kampung Pulau Pak Ubin dengan jarak perjalanan lebihkurang 15 minit berjalan kaki dari rumah. Pelajar hampir-hampir 50 orang semuanya yang terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan.
  2. Kalau tak silap, anak Pak Lang Hassan ada 5 orang. Yang tua bernama Daim, dikuti dengan Fadzil, Fauziah, Hawilah dan Zaaba. Daim dan Fadzil selalu mengganti ayah mereka mengajar kami membaca  Quran. Daim yang berperawakan bengis dengan rambut keras tercacak membuat kami menggeletar bila kena giliran membeca. Dijerkahnya kami hingga boleh dengar lebih 100 meter. Lain pula Fadzil, perawakannya baik dan lembut bila mengejar.Aku yakin semua pelajar akan memilihnya jika diberi kesempatan untuk membuat pilihan antara mereka.
  3. Aku seperti biasa macam aku dimana saja. Tak pernah pandai seperti rakan-rakan lain sehingga kerap menjadi mangsa rotan panjang Pak Lang Hassan. Walaupun dirotan oleh Pak Lang tapi aku tak pernah rasa takut kepadanya kalau dibandingkan dengan anaknya Daim.Bacaan aku, kata Pak Lang Hassan macam bacaan keling gila... tak ketahuan biji buah.Antara qauf dan kaf sama saja bunyinya. Bismillah aku pulak selalu dikatakan Bismillah Mamak... lantas digelarnya aku Abdul Wahab anak Keling.Aku sendiri tak tahu bila aku pandai membaca Quran.
  4. Tapi aku tahu Pak Lang Hassan sayangkan aku. Cuma diwaktu itu aku tak faham kenapa dia sayang sangat kepadaku. Kalau anak-anak gadisnya buat bihun, mee atau apa-apa sebelah malam hari dia selalu meminta mereka menjemput aku. Apa lagi belasahlah aku sepuas-puasnya.
  5. Pak Lang banyak mengajar aku selain dari Quran. Dia minta aku isi borang cukai pendapatan, borang wang pos dan lain-lain bila sampai waktunya. Rasanya akulah anak murid pertamanya yang kenal borang cukai pendapatan. Orang pertama yang pandai mengisi segala macam borang bayaran. Aku sudah mangli bila dipanggilnya aku membuat kerja tersebut. Bayarannya hebat, dua kupang. Dua kupang pada waktu itu cukup besar nilainya. Boleh beli air lemened satu botol dan ais kepal satu kepal.
  6. Bila aku kesekolah, Pak Lang Hassan pesan aku untuk membeli surat khabar Melayu terutamanya pada hari Ahad. Aku ingat lagi akhbar itu ialah Utusan Zaman. Ada cerpen, ada sajak dan lain-lain. Aku juga turut pandai membaca jawi apabila kerap membelek sebelum diserah kepada Pak Lang Hassan.
  7. Aku rasa mungkin kerana 'kerja-kerja' itulah yang membuat dia sayang kepadaku. Kalau kira akal, aku memang tak layak jadi murid kesayangan. Kata orang banyak tak reti daripada yang reti. Tapi kerana aku bagitu istiqamah aku boleh baca Quran dulu daripada kawan-kawan seangkatan waktu itu.
  8. Kami mengaji dibangunan madrasah berhampiran dengan rumah tok guru. Dia tak mengajar diatas bangunan madrasah tapi diatas rumahnya.Bila sampai giliran, kami pergi berdepannya sambil menadah Quran. Bila disuruh baca maka bacalah kami. Aku rasa sekurang-kurangnya sekali belakangku kena rotan panjang Tok Guru dalam satu hari. Berkat dengan ajarannya sampai sekarang aku boleh membaca Quran dengan lancar.
  9. Aku masih ingat bila khatam Quran mak aku buat kenduri kesyukuran - pulut kuning dengan gulai telur ayam kampung.(BERSAMBUNG)