- Kg Darat Mukim Pdg Perahu terletak 30km utara dari Alor Setar. Kampung kecil ini berada didalam gugusan Mukim Padang Perahu bersama Kg Imam,Kampung Pulau Pak Ubin, Kampung Belukar dan beberapa kampung lain. Waktu aku tinggal bersama ibubapaku kira-kira 60 tahun dulu, aku rasa jumlah rumah dikampung aku tak lebih 20 buah
- Aku dibesarkan 100% cara kampung.Kehidupannya penuh dengan pantang larang dan taboo tetapi almaklumlah kerana kenakalan aku, bebas juga aku dari ikatan pantang larang dan taboo tersebut.
- Selain emak dan bapaku, rumah kami turut dihuni oleh kakak Aishah, abang Shaari, abang Shafie, adik Mohd. Noor dan aku. Abangku yang kedua Shafie sudah meninggal. Dia meninggal seorang balu dan 4 anak. Dia masih bertugas sebagai Pengetua Sek.Men Agama Kebangsaan Arau ketika dia meninggal dunia.
- Aku bangga berabangkan Shafie. Dia adalah icon aku didalam bidang pendidikan. Sewaktu dia ditawar ketingkatan enam di Kolej Islam Petaling Jaya umurnya sudah bagitu lanjut. Oleh kerana kolej tersebut hendak memulakan tingkatan enam yang pertama di Malaysia, maka kolej terpaksa mencari pelajar untuk mengisi bangku kekosongan yang ada. Dia yang lulus SPM gred dua secara persendirian (kelas malam) turut dijemput bagi belajar di kolej tersebut.
- Berkat kesabaran dan kerajinannya, dia berjaya mendapat STPM dan ditawar ke UKM sebagai salah seorang kumpulan siswa pioner diumiversiti tersebut.
- Bila aku diterima masuk ke UM dalam tahun 1971, aku tak dapat apa-apa pinjamam/biasiswa. Selain bapa, abang aku Shafielah yang menjadi financer aku belajar.
- Aku sangat terhutang budi atas jasa dan pengorbanan beliau. Dengan sikap cool, dia banyak mengajar aku menjadi insan yang amat ketara bebeza berbanding dengan zaman aku kecil-kecil.
- Waktu itu aku amat-amat nakal sehingga ada sesetengah warga Padang Perahu meluat melihat aku.
- Kenakalan aku ni memang sudah tercatat dikampungku. Maklumlah anak lelaki katakan! Kalau hari itu ada mayat Cina mati ditanam, selepas itu akan adalah ayam atau itik yang kami sembelih dan ditanam disisi mayat Cina tersebut. Ayam atau itik itu akan diusung oleh aku dan kawan-kawan aku longleng longleng kejerat Cina di Kg Darat. Sparing partner aku banyak dah tinggal kampung dan ada juga yang dah arwah.
- Waktu itu tak ada pusat hiburan macam sekarang. Kami menghibur hati dengan permainan tradisi spt wau, gasing, toi galah panjang, sembunyi, sole, gerek tepurung, lompat katak, tauk urat,dll.Sesekali kami pergi menonton di Jitra atau Kodiang.
- Waktu musim janggus, kami main tauk para biji janggus selain memakan biji janggus bakar.Hampir semua rumah ada pokok janggus. Waktu itu pantang nampak buah janggus, habis dikasi bijinya. Tergantung-gantung tanpa bijilah buah-buah itu.. Kadang-kadang kami dimarahi tuan pokok janggus kerana mengmbil bijinya sebelum matang. Yang bengis sikit akan ligan (kejar) kami. Kalau dapat nahas la kami.
- Kawan yang rapat dengan aku ketika itu ialah Jamil Awang (Allahyarham), Latif Othman (sekarang di salah sebuah Felda di Pahang), Yahaya Puteh (masih dikampung), Hamidzon Ahmad @ Lid ( sekarang di Jitra), Zainol Shafie @ Non Koyo Boyo ( sekarang di Jerlun), Mohd. Zohir ? @ Eyaq (sekarang di Kodiang Lama) dan beberapa nama lain yang tak dapat nak disenaraikan.
- Dari jumlah sebegitu ramai kawan yang amat-amat akrab ialah Latif, Jamil, Yahaya dan Lid. Kemana sahaja pergerakan hampir keempat-empat kami senantiasa bersama. Main gasing, cari anak ikan karin di Paya Tok Tong, Makan Moi tumis, Gebang malam atas batas sungai. Hatta kalau ke panggung wayangpun, inilah geng aku.
- Selepas bersekolah, aku tak lama tinggal dengan keluarga dikampung. Selepas tingkatan 3, selebihnya aku banyak berada di asrama @ tempat orang. Diasrama SMJ 2 tahun, SDAR Tanjung Malim 2 tahun, di UM 4 tahun. Bila aku balik sekali sekala aku dapati ramai kawan sudah berhijrah ketempat lain. Sekarang cumi waktu perayaan, kenduri kendara atau sakit deman baru jumpa dengan orang kampung.
- Walaupun tidak jauh hanya di Kepala Batas tetapi himpitan tugas seharian membuat keakraban sudah semakin kelabu. Oh teringin benar aku kembali kenostalgia dulu tapi masa dan ketika tidak boleh diputar semula. Yang ada hanya doa semoga apa yang aku alami dulu dengan keluarga dan rakan-rakan dikampung dapat dinikmati semula oleh warisan keluargaku disana.
Sabtu 24 Dis 2011
12.55 pagi/Kepala Batas.
Semua inilah yang mematangkan kita dalam penghidupan kini, alhamdulillah kita masih boleh balik kampung walaupun tidak dapat bertemu dengan rakan sepermainan.
ReplyDeleteSalam sejahtera....selamat berblog, teruskan usaha ini. semoga berjaya.
ReplyDelete